Pernah ku katakan sebelum ini,
jika aku balik ke Kelantan, insyaaAllah takkan ku lupa untuk menjenguk sekolah
ku yang satu itu. Baru-baru ini sekolahku menjadi buah mulut orang. Sesuatu
yang dahsyat telah berlaku, sesuatu yang tidak pernah pun diimpikan oleh semua
warga sekolah.
Meskipun begitu kami bersatu,
menguatkan sesama kami, berpaling dan melihat dimana cacat cela yang perlu
dibaiki, tersenyum memandang kasih sayang yang telah dipupuk kepada kami di
sini. Betapa lama proses pembangunan insan dan thaqafah di sini sejak zaman
senior hinggalah junior pada hari ini. Ukhwah kami jitu dan tidak akan
dipatahkan oleh sesiapapun.
Masalah yang timbul itu bagaikan
hujan yang membawa bersamanya ribut, memusnahkan bangunan yang tidak utuh,
menguji ketahanan dahan-dahan pohon yang kuat mengikat diri dengan tanah. Begitulah
ringkasnya. Yang musnah didirikan semula dan diperkuatkan. Yang teguh diambil
contoh dan cara.
Ketika itu aku berada di universiti,
beberapa hari aku berfikir mengenai apa yang terjadi di sekolah, kenapa ia
terjadi, bagaimana mahu memulihkannya. Ribut di WhatsApp, ramai bertanya khabar
sekolah, video dan gambar bertebaran, berita usah ditanya pasti ada sahaja
update baru. Naiklah nama Kelantan kerana sekolah kami. Sedih.
Oleh itu, kawan-kawan kami mula membuktikan
apa yang terjadi hanyalah goyahan sementara, untuk dibuang yang keruh dan
diambil yang jernih. Video-video ringkas dan kata-kata di Facebook, Instagram,
WhatsApp mula memainkan peranan, memberitahu masyarakat kebenaran disebalik apa
yang berlaku.
Aku juga tidak ketinggalan,
ketika itu aku sedang mengendali sebuah program tayangan dengan mengejut,
tugasan yang diberi hanya seminggu sebelum berlangsungnya tayangan. Pada malam
tayangan itu berlangsung, aku mengambil peluang untuk mengedit sebuah video.
Ringkas, padat, dan mendalam. Aku buat ia dengan hati, cuba sedaya upaya untuk
siapkannya dalam masa 3 jam sahaja kerana aku kesempitan masa.
Di atas tangga, pintu belakang
Dewan Bakawali yang tidak berlampu ketika itu (UiTM jimat). Berbekalkan telefon
Realme 3 Pro (done promote), aku cuba siapkan video secepat mungkin.
Apabila siap, aku hantar ke group
WhatsApp geng mat. Alhamdulillah, katanya okey. Barulah ku sebarkan ke group
lain. Alhamdulillah. Esoknya, ia viral.
Aku pun post ke dalam Facebook,
Instagram dan Youtube channel ku.
Sekurang-kurangnya itu sahaja
kemampuan ku untuk membantu dan harapnya ia membantu.
Ku harap cerita ringkas ini dapat
memberi semangat kepada rakan-rakan untuk terus memperjuangkan kebenaran dan
sayangilah sekolah kita.
Sekolah agama bukanlah tempat
buangan tetapi tempat untuk membina manusia yang berguna kepada masyarakat dan
agama.
Sekolah agama juga bukan milik
aku dan rakan-rakan sahaja, tetapi milik semua muslim di dunia. Tanggungjawab mempertahankannya
bukan hanya pada warga sekolahnya sahaja tetapi semua lapisan masyarakat.
Comments
Post a Comment