Kerja adalah
kerja. Belajar adalah belajar. Tetapi saat tibanya masa untuk bekerja, saat
itulah pelajaran akan terganggu... sedikit.
Nampaknya
program Badan Dakwah seperti tidak mahu mengalah dari terus-menerus
dilaksanakan tanpa henti di sepanjang tahun. Pernah sahaja terjadi di dalam 1
bulan, setiap hujung minggu pasti terdapat program yang perlu diuruskan. Itu
bukanlah satu masalah besar bagi sesetengah pelajar tetapi ia adalah masalah
besar bagi pelajar yang tidak pandai menguruskan masa.
Nasib baiklah
Asma’ bukanlah orangnya. Dia sudah lama berada di dalam Badan Dakwah dan dia
juga seorang aspuri, iaitu pelajar asrama, jadi senanglah baginya untuk
terlibat dalam mana-mana program sekali pun.
Kali ini
ialah Tamrin Tingkatan 3, dia dilantik sebagai setiausaha program. Jawatan yang
sangat tidak disukainya, manakan tidak sesiapa sahaja yang menjadi setiausaha
pasti akan kalut selama seminggu untuk menyiapkan kertas kerja dan sebagainya.
Oleh kerana
dia tiada kemudahan gadjet, dia terpaksa melaksanakan semua kertas kerja itu di
sekolah dan pada hari persekolahan sahaja. Lelah dan sakitnya ke hulu dan ke
hilir meminta informasi, pengesahan dan keizinan hanya tuhan sahaja yang tahu.
Setelah semua
perkara telah dilaksanankan, kali ini dia hanya perlu meminta tandatangan
daripada pengarah program sahaja. Tetapi, disebabkan dia tidak mengenali
siapakah pengarah program itu, pertemuan antara Asma’ dan pengarah program
diatur oleh rakannya, Nurul, yang juga merupakan urusetia program.
Sejujurnya, Asma’
tidak berani untuk berdepan dengan mana-mana lelaki sekalipun, walaupun hanya
sekadar lalu di sebelahnya, pasti dia akan gementar.
Tempat
pertemuan kali ini adalah di MARKAS. Nurul juga akan ada bersamanya
memandangkan pengarah program itu merupakan seorang lelaki.
Waktu
perjumpaan pada pukul 12.15 tengahari seperti yang sudah ditetapkan oleh Nurul
untuk bertemu dengan pengarah program bagi mengambil tandatangannya, tetapi jam
sudah menunjukkan pukul 12.20. Guru Bahasa Melayu Asma’ masih belum kelihatan
seperti mahu keluar dari kelas.
Mengambil
tandatangan pengarah program adalah tugasan terakhirnya sebelum menghantar
kertas kerja tersebut ke pejabat, jadi dia harus mengambil tandatangan pengarah
program pada hari ini juga, tetapi dia sudah kelewatan.
Sungguh malas
rasanya untuk tunggu lebih lama dan menangguhkan pertemuan kerana dia mahu
melangsaikan kerjanya secepat mungkin.
Subjek selepas
ini adalah subjek Nahu Saraf, sudah lah dia teramat lemah dengan subjek itu,
guru pun boleh tahan garang juga. Bagaimanalah dia mahu keluar ke kelas jika
guru seterusnya sudah masuk ke kelas.
Pilihan
terakhir adalah meminta izin dengan guru Bahasa Melayunya untuk ke tandas bagi
berjumpa dengan pengarah program itu. Dia pun memilih untuk keluar dengan
segera lalu dibawa kertas kerja bersamanya.
Langkah
diatur pantas kerana jam sudah menunjukkan hampir pukul 12.30 tengahari. Terasa
kesal kerana membuat perjanjian pada waktu P&P sebegini, sepatutnya dia
membuat perjanjian untuk berjumpa dengan pengarah program itu pada waktu tamat
persekolahan.
Ketika sedang
berjalan laju menuju ke MARKAS, di persimpangan sebelum bertemu dengan bilik
tersebut, tiba-tiba muncul seorang pemuda yang tidak diketahui dari mana arahnya
berjalan laju keluar dari persimpangan itu. Asma’ terkejut lalu berhenti
serta-merta. Pemuda itu juga terus berhenti apabila hampir-hampir sahaja berlaku
pertembungan di antara dia dan Asma’.
Asma’ yang
mempunyai ketinggian yang cukup comel itu terus mengundurkan diri dan
menundukkan pandangan, dia malu dengan situasi itu, lalu memberi laluan kepada pemuda
itu untuk berjalan terlebih dahulu.
Pemuda itu
pun terus pergi tanpa menoleh ke belakang. Entah siapalah pemuda misteri itu. Asma’
hanya sempat melihat bahawa pemuda itu berbaju hijau, berseluar hitam dan
berkasut hitam. Sudah semestinya dia seorang pengawas sekolah.
Asma’ juga
malas mahu mengambil tahu dengan lebih lanjut lalu terus berlari ke arah
MARKAS.
Sesampai
sahaja di sana, hanya rakan Asma’ sahaja yang wujud di dalam MARKAS itu. Dengan
wajah yang tidak berperasaan sambil mulutnya dicebik berlebihan menandakan
ketidakpuasan hati, Nurul menegur Asma’.
“Awak sudah
terlambat, pengarah itu sudah pun pergi.”
Asma’
melepaskan kertas kerja dari tangannya lalu terduduk kerana kepenatan berlari
dari kelas. Dia mengeluh perlahan, sudah pasti pengarah program itu berasa
marah kepadanya kerana terlewat berjumpa dengannya.
Rakannya, Nurul,
hanya memerhati Asma’ yang sedang menghadapi saat-saat kegagalan bertemu dengan
seorang raja yang berkuasa ke atasnya. Seperti seorang hamba yang sedang
kepenatan membuat kerja tanpa rehat. Ya, dialah hamba kepada masa yang singkat.
Kertas kerja
yang bertaburan di atas lantai bagaikan pinggan mangkuk yang belum dicuci dihempaskan
ke lantai dengan sengaja. Dunia menjadi gelap ditelan oleh kesibukan kehidupan
seharian yang sentiasa mengejar penyelesaian.
Ah! Begitu
drama sekali untuk dibayangkan secara berlebihan. Siapakah pengarah program itu
sehingga dianggap sebagai raja? Siapakah ‘masa’ mahu menindas manusia?
Tiba-tiba, Asma’
meluaskan matanya, seakan-akan melihat sebuah cahaya dari sebuah mentol tanpa
wayar yang berada di atas kepalanya. Idea melintas di kepalanya, ‘Itu adalah
jalan pintas untuk menamatkan kerja yang melemaskan ini’.
“Nurul, boleh
tak kau bagitahu pengarah program untuk jumpa aku malam ni?”
Nurul
mengangkat kening di sebelah kirinya, kehairanan. Mana mungkin pengarah program
itu sanggup ke sekolah pada waktu malam demi melangsaikan sebuah hutang
tandatangan.
Oh, baru dia
teringat, malam ini kelas tambahan malam akan diadakan seperti biasa. Dia terus
bersetuju lalu memaklumkan kepada pengarah program itu untuk berjumpa dengan Asma’
pada malam ini.
.........................
Beberapa hari
telah berlalu, masalah tentang kertas kerja telah pun selesai, waktu belajar
tidak lagi diganggu dengan segala kesibukan menghadap sebuah kertas kerja yang
perlu dilangsaikan segera.
Hari
persekolahan dihadapi dengan santai seperti biasa, guru-guru yang masuk ke
kelas bersilih ganti, buku-buku kerja dilakar dan diconteng lalu di hantar
kepada guru, nota-nota ringkas mula dibuat bagi persediaan untuk menghadapi
peperiksaan.
Bagi pelajar,
perlumbaan untuk mengecapi sebuah impian iaitu lulus dengan cemerlang tidak
pernah lekang dari benak fikiran mereka. Tetapi bukan setiap masa otak diperah
dan diisi dengan ilmu, kadang-kadang ia terisi juga dengan informasi atau
gosip-gosip terkini...
Nurul menjadi
ketua penyebar maklumat berita terkini pada hari ini, pelajar perempuan mula
berkumpul membuat halaqah sebelum gosip itu disampaikan kepada mereka.
“Macam ni,
aku dengar cerita dari pengawas-pengawas kita, ada seorang pelajar lelaki telah
ditangkap bercinta dengan seorang pelajar perempuan di sekolah kita ni.”
“Lelaki itu dipanggil
ke MARKAS untuk siasatan lanjut. Ada juga orang kata yang lelaki tu bercinta
dengan seorang pelajar tingkatan 1.”
Nurul
menunjukkan riak wajah terujanya menceritakan gosip hangat ini kepada
rakan-rakannya yang lain. Mana tidaknya, masalah disiplin seperti bercinta
adalah masalah disiplin paling besar di sekolah itu.
Maklumat-maklumat
sulit seperti ini pula hanya boleh didapati oleh pengawas sahaja, pasti ia
boleh menjadi satu topik hangat apabila ia bocor di mulut para pelajar.
“Hem,
macam-macam budak sekarang ni. Siapakah pelajar lelaki dan pelajar perempuan
tu?” Tanya salah seorang daripada ahli halaqah kecil itu.
“Entahlah,
aku pun tak tahu. Dengarnya diorang dating kat tempat gelap.”
Semua pelajar
halaqah itu menggelengkan kepala menafikan kewarasan lelaki itu untuk berjumpa
perempuan tingkatan 1 di tempat yang gelap.
“Ada lagi...”
Semua pelajar
kembali menundukkan badan mereka untuk mendengar sambungan cerita sensasi itu.
“Lelaki tu
kena denda solat sunat taubat kat masjid sekolah dan kena rotan beberapa kali
dengan guru disiplin.”
Beberapa
pelajar ketawa perlahan apabila mendengar bahawa lelaki itu dikenakan denda
solat sunat taubat, ia teramat jarang berlaku. Hanya orang-orang terpilih
sahaja yang didenda sebegitu. Nampaknya cikgu disiplin benar-benar marah kali
ini. Mungkin kerana kes pelajar bercinta semakin banyak sejak akhir-akhir ini.
Asma’ hanya
mendengar tanpa rasa teruja untuk mengetahui lebih lanjut, biarlah lelaki dan
perempuan itu menjadi misteri, lagi dikupas helaian bawang, lagi pedih mata
merasa. Lebih baik diam daripada membalas apa. Spekulasi hanya membawa kepada
jalan mati atau lebih teruk lagi ialah jalan maut.
.......................
Setelah
kertas kerja program lulus, beberapa persiapan program telah diadakan.
Pelajar-pelajar yang terlibat dengan program ini juga sudah dimaklumkan.
Apabila
harinya sudah tiba, semua mengambil tempat masing-masing, sama ada peserta atau
urusetia, semua sibuk melaksanakan tugas masing-masing.
Kali ini, Asma’
bukanlah sesibuk sebelum program. Tugasnya ketika program sedang dijalankan hanyalah
memantau keadaan program sahaja.
Dia hanya
berjalan-jalan di sekitar program dan memerhati urusetia dan pelajar yang
begitu khusyuk menjalankan program tersebut.
Sedang asyik
dia berjalan, dia tidak sedar bahawa dia telah melepasi kawasan program yang
berada di bawah pengawasannya.
Dia sedang
asyik termenung memandang lantai dan berjalan lurus ke hadapan tanpa memandang
ke kiri dan kanan. Tenungan kosongnya itu membawanya ke deretan kelas kosong
yang tidak digunakan.
Tiba-tiba Asma’
tersedar dari lamunan panjangnya, suatu suara menyedarkannya. Dia seakan-akan
mendengar seperti seseorang sedang berbual berhampirannya.
Dia pun
memandang ke arah kanan di mana terdapat sebuah kelas yang ditutup pintunya dan
dihalang pemandangan dalamnya dengan sehelai langsir.
Perbualan dua
orang pelajar yang berada di dalam kelas tersebut menarik perhatiannya.
“Alhamdulillah,
nasib baik kau ada kat situ, Li. Kalau tak, fitnah ini akan terus berpanjangan.”
Ucap seseorang yang kedengaran seperti sedang bersyukur dan lega.
“Mana ada,
aku hanya cakap apa yang betul sahaja. Sememangnya kau takkan buat perkara yang
tidak matang seperti itu...” Kata Ramli dengan rendah diri.
“.... tetapi
bagaimana dengan perempuan itu? Kau tak nak bagitahu dia kah setelah apa yang
terjadi?”
Seseorang
kedengaran mengeluh perlahan lalu berkata,
“Biarlah ia
kekal rahsia, lebih baik jika kita diamkan. Ia bukanlah sesuatu perkara yang
perlu dibesar-besarkan.” Kata lelaki itu sambil tersenyum.
“Perghhh,
gentlemannya, entah-entah kau suka dia...”
DUSH!
Akibat Asma’
terlalu menunduk ketika dia sedang mendengar perbualan dua orang sahabat itu,
dia terjatuh tanpa sengaja.
“... Eh apa
tu?!”
Terkejut
lelaki itu apabila mendengar bunyi di luar kelas ketika dia belum selesai
menghabiskan kata-katanya.
Asma’ terus
lari meninggalkan kawasan tersebut.
“Kucing
kot...” Jawab sahabatnya bersahaja.
.......................
Masa berlalu
begitu pantas. Setelah tamat alam persekolahan, Asma’ telah melanjutkan
pelajarannya ke Darul Quran dan menjadi seorang hafizah dengan cemerlang.
Berkat hasil
pengajiannya itu, dia telah bekerja sebagai seorang ustazah di sebuah sekolah
rendah di sekitar kampungnya. Kefasihannya membaca ayat-ayat suci Al-Quran
telah menjadikannya seorang ustazah KAFA dan mengajar mengaji kepada
pelajar-pelajar sekolah itu.
Dia mengajar
mereka dengan penuh kasih sayang meskipun mereka bukan ahli keluarganya. Setelah
kelas KAFA tamat, Asma’ pun menyimpan Al-Quran lalu beredar dari situ.
Belum sempat
dia melangkah keluar, seorang pelajar menarik bajunya lantas membuatkan Asma’
berpaling.
“Ustazah, nak
salam.” Ucap salah seorang anak muridnya sambil tersenyum mempersembahkan
barisan gigi yang begitu ‘cantik’. Sangat comel.
“Oh, maaf,
ustazah lupa...”
Asma’ terus
menghulurkan tangannya lalu pelajar itu mencium tangannya.
“.... Belajar
baca Al-Quran elok-elok ya, nanti boleh masuk syurga.” Katanya sambil menggosok
kepala pelajar ciliknya itu.
Setiap hari,
perkara sama berulang. Walaupun hanya seorang guru kelas KAFA, Asma’ sangat
gembira berkhidmat kepada anak-anak cilik itu.
Setelah
pulang dari rumah, tetamu yang tidak dikenali sudah pun tiba di rumahnya.
Tetamu itu dilayan dengan begitu baik oleh ibu bapa Asma’.
Seorang mak
cik.
Seorang pak
cik.
Dan seorang
pemuda.
Asma’ ditarik
oleh ibunya ke dapur untuk berbincang dengan anaknya dengan lebih peribadi. Asma’
hanya menunduk apabila mendengar penjelasan daripada ibunya. Nampaknya, dia
sedang dirisik oleh ibu bapa pemuda yang dia tidak pun kenali.
“Ibu, kan Asma’
dah cakap, Asma’ tak nak kahwin dengan orang yang Asma’ tak kenal.”
“Tapi, lelaki
tu kenal Asma’, katanya dia pernah bersekolah dengan Asma’ dulu...”
Asma’
mengerutkan dahinya tanda kehairanan. Siapakah lelaki itu? Pernahkah dia
berjumpa dengannya sebelum ini? Bagaimana dia mengenali Asma’?
Dari jauh Asma’
sudah pun gementar melihat pemuda itu. Tangannya mula terketar-ketar apabila
berjalan bersama ibunya menuju ke ruang tamu. Ibu menenangkannya sepanjang
perjalanan menuju ke sana.
Setelah lama
mereka berbual-bual dan merisik khabar, pemuda itu pun meminta izin daripada
ibu bapa Asma’ untuk bercakap dengan Asma’ di luar. Mereka pun mengizinkannya.
Asma’ hanya
menurut pemuda itu keluar ke luar rumah.
Keadaan sunyi
seketika, tiada sesiapa yang memulakan perbicaraan. Sememangnya Asma’ tidak
pandai memulakan perbualan dengan lelaki, lebih-lebih lagi dengan orang yang
dia tidak kenali.
Pemuda itu
pun memulakan perbualan mereka.
“Asma’, nama
saya Rahman. Kita pernah berjumpa di sekolah beberapa kali. Saya tahu Asma’ tak
perasan saya...”
“... mungkin
ini dapat mengingatkan Asma’.”
Pemuda itu
pun menghulurkan beberapa helaian kertas.
Sekali lagi Asma’
kebingungan lalu dahinya berkerut sambil tangannya menyahut kertas-kertas itu.
......................
“Aman, kau
nak jumpa dia kat mana?”
“Sepatutnya
aku jumpa dia kat depan MARKAS tapi tak tahulah kenapa dia lewat”, kata Rahman
sambil menggosok kepalanya yang tidak gatal lalu ditutup dengan sebuah topi
“Kalau macam
tu aku pergi tandas dululah, dah tak tahan dah ni.”
“Okey,
pergilah dulu”
Li
meninggalkan Rahman bersendirian menunggu kehadiran Asma’. Sambil menunggu, Rahman
bermain topinya ke depan dan ke belakang berulang kali kerana kebosanan.
Tiba-tiba
kedengaran bunyi motosikal yang baru sahaja masuk ke dalam kawasan sekolah,
nampaknya Ustaz Bahar iaitu ustaz yang mengajar Rahman pada malam ini sudah
tiba.
“Alamak, buku
aku tertinggal dalam motor.”
Dia pun
berjalan pantas keluar dari sekolah untuk ke tempat parkir motosikalnya yang
berada di hadapan masjid sekolah.
Setelah
keluar dari pagar sekolah, seseorang telah menegurnya dari belakang, dia pun
segera berpaling.
“Awak, maaf,
ini kertas kerja program yang awak perlu tandatangan.”
Kata Asma’
lalu menghulurkan beberapa helai kertas kepada Rahman.
Oleh kerana
kedudukan Asma’ yang sangat jauh daripada Rahman, lelaki itu pun berjalan
mendekatinya bagi mengambil kertas kerja itu. Asma’ tergamam lalu kaku ditempat
dia berdiri, jantungnya pantas berdegup dan dia seperti tidak dapat bergerak.
“Ada pen
tak?”
“Hah? Aaa...
ada ada..”
Asma’ pantas
menyerahkan pennya tanpa berfikir panjang. Setelah selesai tandatangan di
tempat yang sepatutnya, Rahman pun menyerahkan kembali pen itu kepada Asma’.
Tanpa
berlengah, Asma’ mengambil semula pennya lalu beredar dari situ dengan pantas.
“Eh,
tunggu...”
Belum sempat Rahman
menghabiskan ayatnya, Asma’ sudah pun hilang dari pandangan. Dia mengeluh
perlahan, kehairanan dengan apa yang berlaku. Adakah dia ada membuat silap?
“Fuhlamak,
aku tengok cerita Hindustan ke ni? Tungguuuu!!! Jangan pergi tinggalkan
aku.....” Tiba-tiba muncul Ramli yang entah dari mana menegurnya dari belakang.
“Haish,
ada-ada jer kau ni. Dah lah, Ustaz Bahar dah datang... Jom ambil buku.”
Ramli hanya
menyambung sengihannya, suka menyakat sahabatnya itu. Sudah lama dia memerhati Rahman
yang selalu memandang Asma’ sebelum ini tetapi dia hanya berdiam diri.
....................
Asma’ hanya
memerhati kertas kerja yang dipegangnya, dibelek satu persatu untuk memahami
apakah yang cuba disampaikan oleh Rahman. Ini adalah hasil tangannya. Di muka
surat belakang pula terdapat tandatangan pengarah program yang tidak sempat pun
dilihatnya.
“Jadi
maknanya awaklah pengarah program itu?”
Rahman hanya
mengangguk tanpa perlu menjawab persoalan itu, dia tersenyum kerana akhirnya Asma’
mengenalinya.
Tiba-tiba
datang seekor kucing menggesel kaki Rahman. Dia pun mengangkat kucing tersebut
lalu membelainya sambil berkata,
“Saya suka
kucing, kucing pernah menghendap saya ketika saya sedang berbual dengan sahabat
saya dulu...”
Rahman pun
tersenyum lalu memandang Asma’. Asma’ pula masih kebingungan dengan apa yang
dikatakan oleh Rahman.
TAMATTTTTT
Ni cerita betul ke ami? Seronok betul saya membacanya. Lepas ni dah 'slow slow' boleh terbit Novel Tarbiah. Penulis:Nik Amirah.. Hihihi
ReplyDeleteHuhu... Terima kasih banyak-banyak. Sebenarnya dalam banyak-banyak cerita yang Ami pernah tulis, ini jelah cerita yang dapat diterima oleh kebanyakan orang. By the way, thank you sebab baca... Ini bukan cerita betul tapi Ami kumpulkan pengalaman Ami dan pengalaman orang lain untuk dijadikan 1 cerita.
Delete